MELALUI jalan raya utama di kota Padang, Indonesia deretan lot-lot kedai dengan kesan rekahan boleh dilihat dengan nyata. Ada yang separuh terbenam ke dalam bumi dan ada juga yang senget akibat patah tiang utama bangunannya.
Sisa-sisa runtuhan bangunan serta jentolak-jentolak mengangkat serpihan batu membersihkan kawasan runtuhan merupakan pemandangan biasa di kota kecil itu. Padang cuba segera bangkit selepas hampir empat bulan dilanda gegaran maut.
Gempa bumi berukuran 7.6 skala Richter yang menggoncang Padang pada pukul 5.16 petang, 30 September tahun lalu telah menggemparkan masyarakat Padang dan juga dunia. Ini kerana ia merupakan bencana terburuk di kota wisata di kepulauan Sumatera itu.
Kerajaan Indonesia mengesahkan sekitar 1.2 juta penduduk daripada 250,000 keluarga terjejas akibat gempa tersebut. Bencana itu menyebabkan kematian 1,115 orang, 1,214 cedera parah dan 1,688 cedera ringan.
Padang kontang pelancong
Diajak melihat dengan mata kepala sendiri wajah sebenar Padang pada Disember tahun lalu, penulis mengakui walaupun kota pelancongan itu belum pulih sepenuhnya, namun penduduknya kini sudah kembali hidup seperti biasa.
Perkhabaran bahawa Lapangan Terbang Antarabangsa Minangkabau, Padang telah musnah ekoran gempa yang berlaku ternyata tidak benar sama sekali. Gambaran yang diberikan seolah-olah Padang sudah ranap seperti mana Acheh ketika dilanda tsunami juga adalah meleset.
Jika dilihat di Acheh, mereka mengambil masa lebih daripada setahun untuk pulih dari segi emosi, ekonomi dan juga sosial. Namun di Padang, dalam masa tiga bulan kesan trauma sudah tidak lagi kelihatan.
Menurut wakil Jabatan Seni, Kebudayaan dan Pelancongan Wilayah Sumatera Barat, Johny Rizal, liputan media yang agak keterlaluan membuatkan ramai pelancong membatalkan niat mereka melancong ke sana.
BANGUNAN kerajaan adalah yang paling banyak terjejas.
"Pelancong menganggap semua hotel telah musnah walhal di Padang sendiri masih ada lebih 200 bilik-bilik hotel yang boleh didiami. Walaupun sudah tiga bulan bencana itu berlaku, Sumatera Barat sebenarnya masih tidak menerima sebarang kunjungan daripada pelancong," katanya ketika ditemui media Malaysia.
Penulis berterus-terang kepada Johny betapa tanpa maklumat yang betul, apa yang terlintas di fikiran ramai ialah kota itu sedang berdepan dengan kekalutan.
"Tentu sekali saya terbayangkan runtuhan bangunan menjadi pemandangan di bahu jalan dan saya bakal di kelilingi peminta sedekah bagaikan semut menghurungi gula," getus penulis.
Ternyata persepsi itu tidak benar kerana tatkala menaiki bas yang membawa wakil agensi pelancong dan media Malaysia melewati kota Padang banyak bangunan runtuh yang sudah dibersihkan. Hakikatnya hampir 80 peratus kehidupan masyarakat di sana telah pulih.
Penulis diberitahu kebanyakan bangunan yang runtuh adalah bangunan kerajaan. Antara punca utamanya kerana kebanyakan bangunan itu dibina pada zaman Belanda dan ia tidak mempunyai asas yang kukuh.
Mengimbau tragedi gegaran
Kata Johny, gempa tempoh hari merupakan bencana terburuk pernah dialami masyarakat di Padang. Bagaimanapun, rakyatnya perlu bangun dan membina kembali kehidupan. Ia sememangnya jelas kelihatan. Jika tidak kerana sisa runtuhan, tiada siapa menyangka kota tersebut baru mengalami gempa pada skala yang tinggi.
Pun begitu ia tetap memberi satu mimpi ngeri kepada mereka yang melaluinya. Igauan bencana tsunami di Acheh terpacul di minda tatkala gegaran mula dirasai. Walaupun tsunami yang berlaku pada 26 Disember 2004, tidak melanda Padang namun kerisauan itu tetap ada.
"Semasa gempa tempoh hari saya berada di pejabat yang terletak berhampiran pantai. Apabila gegaran kuat terasa saya serta semua rakan sekerja berlari keluar dari bangunan.
"Kami semua terus menuju ke lautan untuk melihat paras air di pesisir pantai. Ketika itu kedengaran orang ramai menjerit dan bertempiaran lari. Ramai menuju ke arah laut.
"Kami tahu jika air laut surut maka kami mempunyai lebih kurang satu jam untuk melarikan diri te tanah tinggi. Tsunami pasti akan berlaku," kata Pengarah Operasi Glori Cuaca Mandiri, Syafitri Yetti.
Beliau mengakui sangat ketakutan ketika itu. Kenderaan di jalan raya juga tidak boleh bergerak ketika gegaran berlaku.
"Selepas gegaran ramai yang tidak keluar dari bangunan kerana beranggapan keadaan mungkin sudah selamat. Namun, sebenarnya gegaran tersebut telah merosakkan struktur sokongan bangunan menyebabkan banyak bangunan mulai runtuh selepas itu. Ia sekali gus mengorbankan banyak nyawa mereka yang berada di dalam bangunan," katanya.
Daerah Pariaman adalah antara kawasan yang paling teruk terjejas kerana gegaran dilaporkan berpusat di situ. Terdapat beberapa kampung di sana hilang ditelan bumi namun penulis tidak berpeluang mengunjungi kawasan yang terjejas ekoran jalan masuk yang kurang sempurna.
Namun, perjalanan ke Bukit Tinggi yang melewati daerah Pariaman memberi peluang kepada kami melihat sebahagian kesan kuasa yang Maha Esa. Khemah-khemah yang didirikan oleh sukarelawan seluruh dunia dapat dilihat dengan jelas. Masih ada keluarga yang tinggal di dalamnya sementara menunggu rumah mereka siap dibaiki.
Sedia terima pelancong
Walaupun Bukit Tinggi tidak terjejas akibat bencana tersebut ia juga merasai impak daripada kemerosotan kedatangan pelancong luar. Jalan yang menghubungi kota Padang dengan Bukit Tinggi begitu lengang daripada sebarang kenderaan.
Kata Johny, pihaknya sedang melakukan pelbagai usaha bagi memulihkan pelancongan di Sumatera
|
WALAUPUN Padang digambarkan sebagai lenyap, penduduknya masih menjalankan aktiviti dan mencari rezeki seperti biasa. |
Barat. Antara usaha yang dilakukan adalah berkunjung ke Malaysia bagi menjelaskan keadaan sebenar dan sejauh mana Sumatera Barat masih sesuai untuk dijadikan destinasi pelancongan.
Ditanya, kenapa hanya ke Malaysia, Johny menjawab, "Lebih 65 peratus daripada pelancong asing adalah daripada Malaysia dan selebihnya daripada negara-negara lain seperti Eropah.
"Kami ingin membina persefahaman dan menggambarkan kami tidak ranap sepenuhnya. Masih banyak kawasan yang boleh dikunjungi dan tidak ada satu pun destinasi atau objek pelancongan musnah akibat gempa," katanya.
Johny mengakui, walaupun sumber ekonomi daripada pelancongan terjejas, Sumatera Barat masih memperoleh pendapatan daripada kemasukan pasukan-pasukan bantuan dari negara lain.
Walaupun tujuan mereka sebagai sukarelawan bukan melancong, ia tetap dikira sebagai pendapatan.
"Sebanyak 33 negara memberi bantuan dengan jumlah sukarelawan seramai 4,180 orang. Sehingga kini masih ramai yang tidak meninggalkan Sumatera Barat bagi menyelesaikan misi kemanusiaan mereka.
"Mereka pasti berbelanja sepanjang berada di sini. Ia merupakan sebahagian daripada pendapatan bagi Sumatera Barat," katanya.
Walaupun sudah hampir empat bulan bencana ngeri itu berlaku masih ada bantuan yang tiba. Malah pada pertama kami tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Minangkabau, Padang kami sempat bertembung dengan sekumpulan pelajar daripada kumpulan Pengkaji Tamadun Dunia Unisel, Shah Alam yang datang sebagai sukarelawan.
Pada hari terakhir pula kami terserempak dengan sekumpulan sukarelawan daripada Pertubuhan Misi Bantuan Kemanusiaan Selangor (Pantas).